Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas menyokong usaha kerajaan negeri Kelantan yang meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Pindaan) 2017 bagi memperkasakan institusi Mahkamah Syariah di negeri itu.

Menurut Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan, biarpun masih tertakluk kepada Pindaan Akta 355 yang masih diperingkat awal pembentangannya di Dewan Rakyat, langkah itu menunjukkan kerajaan negeri pimpinan Pas itu serius dalam mengangkat martabat mahkamah syariah sebagai institusi keadilan umat Islam.

“Isu hukuman sebat yang dibolehkan perlaksanaannya secara terbuka, lebih hangat dibahas berbanding aspek yang lain seperti penambahbaikan prosedur melibatkan kehakiman, pendakwaan, penguatkuasaan serta guaman syarie.

“Lebih malang, setengah pihak hanya nilai hukuman sebat di khalayak secara picisan, tidak kepada aspek hukuman yang lebih menyeluruh. Mereka anggap Kerajaan Negeri Kelantan khasnya, dan Pas amnya adalah seolah-olah kerajaan menghukum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan Kelantan pada Rabu, meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang membolehkan hukuman sebat dijalankan di tempat terbuka.

RUU itu juga memperuntukan kuasa kepada pegawai penguatkuasa agama menggunakan gari ke atas suspek, selain membenarkan video digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata kerajaan negeri itu berhak untuk menggubal perkara tersebut melalui mandat yang diberikan rakyat pada PRU13 lalu.

“Adapun langkah terhadap keselamatan sosial, ia juga berlaku dari sudut yang lain.

“Program yang diatur oleh Kerajaan Negeri kesemuanya berasaskan kepada prinsip ‘amar ma’ruf dan nahi mungkar’ iaitu mengajak manusia taati Allah SWT, lakukan kebaikan dan tinggalkan kerosakan.

Inilah pendidikan serta langkah keselamatan kepada masyarakat yang diluncurkan kepada rakyat Negeri Kelantan,” katanya. -MalaysiaGazette