Home Ekonomi OPR dijangka kekal 3% tahun ini

OPR dijangka kekal 3% tahun ini

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) 3.00 peratus sepanjang tahun ini selepas Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) mengekalkannya semalam.

MIDF Research berkata, keputusan MPC itu sudah dijangkakan kerana prestasi aktiviti ekonomi meningkat dan inflasi terkawal.

Firma penyelidikan itu berkata, aktiviti perdagangan dan industri merentasi seluruh ekonomi termasuk pasaran baru muncul menunjukkan trend meningkat.

Prestasi dagangan yang teguh ditambah dengan permintaan domestik yang lebih kukuh meletakkan ekonomi domestik berkembang lebih tinggi pada tahun ini.

Limpahan kesan positif daripada peningkatan eksport dijangka berterusan pada separuh kedua 2017.

Tambah firma itu, permintaan global yang memberangsangkan mendorong kepada prestasi domestik lebih baik apabila buat kali pertama dalam tempoh 12 bulan, eksport berkembang lebih tinggi berbanding import masing-masing 32.5 peratus dan 30.4 peratus pada Mei lalu.

Peningkatan dalam pembuatan akan terus memacu pengeluaran industri tempatan meskipun penurunan dalam hasil perlombongan sejak separuh kedua tahun lalu.

Bagaimanapum ketidaktentuan politik, dasar dan ketidakstabilan harga komoditi kekal sebagai ancaman kepada pertumbuhan.

Dalam perkembangan baru-baru ini, pemimpin global cenderung ke arah liberalisasi pasaran dan globalisasi. Minggu lalu, Jepun dan Kesatuan Eropah mencapai persetujuan mengenai pakatan perdagangan bebas antara kedua-dua ekonomi.

Perjanjian itu menandakan peristiwa penting dalam perdagangan antarabangsa dengan ancaman perlindungan yang semakin berkurangan. Namun turun naik harga komoditi masih menjadi satu cabaran untuk pertumbuhan global dalam jangka terdekat.

Inflasi pada kadar 3.9 peratus bulan Mei lalu mencerminkan kesan harga yang didorong oleh kos terutamanya harga bahan api yang merosot.

MIDF Research menjangkakan kadar inflasi Malaysiaakan sederhana berikutan kesan harga bahan api berkurangan. – MalaysiaGazette