Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh bercakap pada sidang media selepas selesai Program Soaring Upwards bersama Ahli Parlimen Mahasiswa di Hotel Nouvelle Seri Kembangan, Selangor. foto IQBAL BASRI, 16 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Bagi mencari pelapis calon Barisan Nasional (BN), Ahli Parlimen Mahasiswa yang layak boleh disenaraikan sebagai calon Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ia sebagai persediaan awal kepada mereka yang dipilih bagi calon BN untuk terjun ke bidang politik melihat kepada kematangan peserta program berkenaan.

“Jika kita lihat program ini berlangsung selama tiga tahun, mungkin ada mereka yang bagus dan kita akan cadang nama sebab kita tengok mana yang berpotensi kita akan beri nama untuk jadi calon pelapis,” katanya dalam sidang media Persidangan Parlimen Mahasiswa 2017 di sini  hari ini.

Untuk program Parlimen Mahasiswa 2017, seramai 212 mahasiswa dari 20 universiti awam dan enam Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) terpilih bagi menyertai Parlimen Mahasiswa kali ini.

Jelas Idris, proses itu akan dikelolakan oleh Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) selaku badan yang menyokong BN.

Sehingga kini terdapat lebih 400 Parlimen Mahasiswa didaftar sejak ia ditubuhkan pada tahun 2015.

“Ia idea yang tercetus selepas perbualan dengan Presiden Mubarak, Tan Sri Abdul Aziz. Mubarak akan dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program ini dan menilai mana-mana yang sesuai,” katanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Pelaksanaan itu dilihat boleh dilakukan selepas peserta Parlimen Mahasiswa yang berjaya digilap bakat mereka bagi berjinak-jinak dalam arena politik.

Bagaimanapun jelas Idris, ia termaktub kepada keputusan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak samada menerima atau tidak cadangan nama-nama berkenaan kelak. – MalaysiaGazette.