Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Selaku parti bertunjangkan Islam, Pas harus ada cita-cita untuk menjadi kerajaan yang akan memerintah negara dengan cara Islam, kata  Setiausaha Agung Pas,  Datuk Takiyuddin Hassan.

Menurutnya, Pas tidak seharusnya sekadar berpuas hati sebagai sebuah parti politik Islam malah perlu bertindak sebagai parti yang dominan dalam mengepalai kepimpinan negara sekiranya menang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kelak.

“Saya kira, bukanlah satu jangkamasa yang pendek (66 tahun), parti kita ini sudah berada dalam arus perdana politik negara kita, kita sudah memerintah beberapa buah negeri, membuktikan Pas merupakan satu wadah politik yang mampu memimpin rakyat lebih-lebih lagi kita memimpin berteraskan kepada Islam yang suci,” katanya memetik laporan lidah rasmi parti itu, Harakahdaily.

Katanya lagi, ada kemahuan yang amat tinggi dalam kalangan masyarakat untuk melihat negara ini diperintah menurut Islam.

Sejajar dengan itu, Pas katanya tidak lagi boleh berasa selesa bergerak sebagai sebuah parti politik, sebaliknya perlu bersedia memikul tanggungjawab sebagai kerajaan yang akan memerintah mentadbir negara mengikut panduan Islam.

“Kita mempunyai tanggungjawab yang lebih besar, daripada kita sekadar membawa mesej ini (Islam) secara dalaman melalui parti kita, kita juga mesti ada hasrat untuk menjadi badan siasah yang mampu untuk memimpin masyarakat di peringkat kerajaan, sama ada negeri mahupun di peringkat negara,” katanya lagi.

Pas kini bergerak bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Barisan Jemaah Ismailiah Malaysia (Berjasa), Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Harapan Malaysia (PHM) bertindak menubuhkan Gagasan Sejahtera (Gagasan) selaku blok ketiga pembangkang.

Ia disebabkan Pas yang enggan menganggotai Pakatan Harapan (PH) dalam mendepani Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 akan datang. -MalaysiaGazette.