Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berucap pada Program Soaring Upwards bersama Ahli Parlimen Mahasiswa di Hotel Nouvelle Seri Kembangan, Selangor. foto IQBAL BASRI, 16 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dinasihatkan agar lebih tegas dalam mendapatkan semula pinjaman pendidikan daripada pelajar-pelajar universiti.

Ujar Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, langkah itu perlu memandangkan ramai bekas-bekas peminjam badan itu mampu untuk membayar pinjaman kereta, kad kredit dan pinjaman peribadi namun masih gagal melunaskan pinjaman pendidikan masing-masing.

“Peminjam yang tak nak bayar PTPTN itu tidak menghadapi masalah untuk membayar pinjaman perumahan, hutang kereta dan kad kredit.

“Namun golongan seperti ini tidak membayar pinjaman pendidikan PTPTN. Bukan mereka tidak mampu, tapi tidak mahu. PTPTN perlu lebih tegas,” katanya dalam ucapan Persidangan Parlimen Mahasiswa 2017 hari ini.

Ujarnya, ramai golongan seperti ini tidak datang berunding dengan PTPTN mengenai status kewangan mereka malah tidak mengambil insiatif untuk berbuat apa-apa mengenai itu.

“Kalau tak boleh bayar RM200, bayar RM50 pun boleh.

“Sila berhubung dengan PTPTN, sebab PTPTN bukan untuk menganiaya sesiapa pun. Dalam Islam hutang wajib bayar.

“Kerajaan bayar RM500 bilion untuk bantu pelajar dapat pinjaman, kalau tak bayar apa akan jadi di masa-masa akan datang?,” soal Ahli Parlimen Besut.

Sehingga Januari 2017, seramai 663,000 peminjam PTPTN didapati gagal membuat bayaran balik pinjaman melibatkan jumlah RM4.7 bilion.

Daripada RM48.7 bilion yang diagihkan kepada peminjam sejak PTPTN ditubuhkan pada 1997, badan itu hanya berjaya mengutip RM10.8 bilion daripada RM18.8 bilion yang sepatutnya diperolehi. -MalaysiaGazette.