Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika tiba di Stesen MRT Stadium Kajang selepas menaiki tren MRT dari Stesen Tun Razak Exchange pada majlis perasmian laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) Line. foto SAFWAN MANSOR, 17 JULAI 2017

KAJANG – Projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) merupakan infrastruktur yang dinanti-nantikan oleh rakyat di negara ini khususnya warga Kajang.

Temubual bersama pengguna, Romainon Mohd Yusof, 66 pada Pelancaran Mass Rapid Transit (MRT) Fasa Dua Laluan Sungai Buloh – Kajang di Stesen MRT Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 JULAI 2017.

Bagi warga emas, Romainon Mohd. Yusof, 66, pelancaran MRT yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di stesen Tun Razak Exchange (TRX) hari ini sudah menunggu lama ia menjadi realiti.

Menurutnya, pelancaran MRT akan mengurangkan isu kesesakan jalan raya yang sering ‘mencengkam’ bandar Kajang dan berharap ia akan beransur-ansur tenang selepas adanya MRT.

“Baguslah dengan adanya MRT ini, kurang sikit orang berebut-rebut naik bas. Lagi pun Kajang ini memang sesak terutama waktu puncak pagi dan petang. Kesesakan lalu lintas boleh diatasi dan membuatkan lebih ramai datang ke Kajang,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette.

Kewujudan tren serba canggih itu sememangnya dianggap macam ‘bulan jatuh ke riba’ kerana ia menjanjikan seribu satu peluang kepada warga Kajang pada depan.

Temubual bersama pengguna, Maizureen Nazirah Osman, 12, pada Pelancaran Mass Rapid Transit (MRT) Fasa Dua Laluan Sungai Buloh – Kajang di Stesen MRT Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 JULAI 2017.

Menurut seorang pelajar Sekolah Menengah Taming Jaya, Maizureen Nazirah Osman, 12, MRT sememangnya menjadi titik permulaan kepada pelbagai pembangunan yang lain.

“Sebagai pelajar, saya amat berbangga dengan apa yang dilakukan kerajaan, pelaksanaan MRT sememangnya memberikan peluang keemasan kepada warga Kajang untuk keluar daripada kesesakan jalan raya yang sudah lama dihadapi.

“Amat bagus untuk meningkatkan ekonomi dan ini amat diperlukan di sini, selaku masyarakat Kajang saya amat berterima kasih dengan kerajaan,” katanya.

Temubual bersama pengguna, Azhar Ibrahim, 44, pada Pelancaran Mass Rapid Transit (MRT) Fasa Dua Laluan Sungai Buloh – Kajang di Stesen MRT Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 JULAI 2017.

Bagi Azhar Ibrahim, 44, warga Kajang sepertinya sangat memerlukan MRT yang sepatutnya sudah ada 10 tahun yang lalu bagi menjimatkan kos pengangkutan antara bandar.

Untuk rekod, projek MRT laluan Sungai Buloh- Kajang berjaya disiapkan dua minggu lebih awal daripada jadual asal iaitu pada hujung bulan ini.

Malah projek itu  dapat menjimatkan RM2 bilion kepada RM21 bilion daripada bajet awal sebanyak RM23 bilion.

Laluan MRT Sungai Buloh- Kajang sepanjang 51 kilometer dengan 31 stesen itu bakal memberi manfaat kepada 1.2 juta penduduk di Lembah Klang. -MalaysiaGazette.