Gambar hiasan

JEDDAH – Kira-kira 64 peratus lelaki Arab Saudi mengahwini wanita dari negara-negara Asia.

Persatuan Kebajikan Keluarga Arab Saudi (Awair) berkata, 19 peratus dalam kalangan wanita itu adalah dari Afrika, 4.3 peratus berasal dari negara-negara Teluk Arab dan 4 peratus lagi negara-negara Barat.

Pengerusi Awasir, Tawfiq Al-Swaylem berkata, perkahwinan dalam kalangan wanita bukan dari Arab Saudi semakin biasa sejak 20 tahun lalu.

“Dan, kami berminat untuk mengkaji fenomena itu bagi memahami mengapa ia menjadi popular.

“Pada masa kini, banyak pertukaran budaya dan sosial berlaku di peringkat tempatan, kebangsaan dan antarabangsa. Selain itu, media mempengaruhi individu kerana mempunyai akses kepada media sosial, menjadikannya mudah untuk berhubung dengan orang dari seluruh dunia,” kata Al-Swaylem.

Beliau juga berkata, terdapat kontrak perkahwinan yang baru baru muncul seperti perkahwinan sivil, perkahwinan misyar, perkahwinan misyaf, perkahwinan khusus, perkahwinan pelancongan, perkahwinan musim panas dan perkahwinan lain dengan tujuan untuk bercerai selepas tempoh tertentu.

“Salah satu sebab untuk pernikahan seumpama itu kerana kadar mas kahwin yang tinggi dan perbelanjaan besar.

“Golongan muda di Arab Saudi tidak lagi memberi keutamaan tanggungjawab kepada keluarga dan tidak bersedia untuk membuat pengorbanan untuk memastikan kehidupan keluarga yang stabil. Mereka tidak menjangkakan akibat buruk daripada perpecahan keluarga dan perbezaan dalam adat dan nilai,” tambah beliau.

Beliau juga berkata, lelaki yang sudah berusia lebih memilih untuk berkahwin dengan wanita asing.

“Kategori lelaki lain yang berkahwin dengan wanita asing adalah lelaki yang mempunyai sumber pendapatan terhad kerana perbelanjaan perkahwinan dan sara isteri asing adalah murah.
“Terdapat juga lelaki poligami yang memilih untuk berkahwin dengan wanita asing sebagai isteri kedua, ketiga atau keempat,” kata Al-Swaylem.

Beliau menambah, beberapa lelaki Saudi berkahwin dengan wanita asing selepas mereka melancong atau menuntut di luar negara. – MalaysiaGazette