Home Nasional FIC: SPRM kesan beberapa saksi penting

FIC: SPRM kesan beberapa saksi penting

Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan beberapa lagi individu yang merupakan saksi penting bagi membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel di London oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Menurut sumber, dengan merakam percakapan saksi-saksi tersebut, SPRM dapat mengumpul lebih banyak maklumat berhubung pembelian hotel empat bintang di Kensington antara tahun 2013 dan 2015.

Kenyataan saksi-saksi tersebut adalah penting untuk mengetahui sama ada wujudnya unsur rasuah dan penyelewengan dalam pembelian hotel tersebut.

“Pasukan penyiasat kini sedang mengesan suspek-suspek tersebut bagi mendapatkan maklumat berhubung pembelian hotel itu untuk membantu melengkapkan siasatan,”ujarnya ketika dihubungi.

Sementara itu, SPRM telah merakam percakapan enam lagi individu dari FIC berhubung pembelian hotel tersebut hari ini.

Mereka yang telah memberikan kenyataan hari ini adalah ketua hospitaliti FIC, Ketua Kewangan FIC, Pengurus Kanan Strategik dan Pelaburan, Eksekutif Kewangan, Pembantu Pengurus Kewangan serta Bekas Timbalan Presiden dan Ketua Pegawasi Operasi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan maklumat-maklumat tersebut dan memberitahu, pihaknya sedang meneliti semua maklumat.

Beliau juga tidak menolak beberapa tangkapan akan dibuat pada masa terdekat untuk membantu siasatan ini berikutan maklumat-maklumat yang diterima dalam proses siasatan yang sedang dijalankan. – MalaysiaGazette