Antara barangan milik pasangan suami isteri yang hilang sejak 75 tahun ditemui glasier Tsanfleuron, di atas resort Diablerets. foto Agensi

GENEVA – Dua mayat yang dipercayai milik sepasang suami isteri yang hilang sejak 75 tahun lalu ditemui dalam glasier yang cair.

Marcelin dan Francine Dumoulin dilaporkan hilang ketika pergi mengembala lembu di Banjaran Alps pada bulan Ogos 1942.

Mereka hilang ketika berada di ketinggian 2,600 meter.

Tujuh anak pasangan itu tidak pernah berhenti mencari ibu bapa mereka meskipun gerakan mengesan dilakukan secara besar-besaran.

“Kami menghabiskan seluruh hayat mencari mereka. Saya menunggu berita ini selama 75 tahun dan kini ia melegakan saya,” kata Marceline Udry-Dumoulin yang sudah berusia 79 tahun kepada media Lausanne daily Le Matin sambil menyatakan hasrat untuk mengebumikan ibu bapanya.

Bagaimanapun, polis berkata, ujian DNA akan dilakukan bagi tujuan pengesahan.

Polis berkata, mayat pasangan itu ditemui minggu lalu di glasier Tsanfleuron, di atas resort Diablerets oleh seorang pekerja syarikat ski, Glacier 3000.

Pengarah syarikat itu, Bernhard Tschannen berkata, kakitanganya menemui beg, beg galas, mangkuk timah dan botol kaca, serta kasut lelaki dan wanita dan sebahagian badan di bawah ais.

Polis Valais dalam satu kenyataan berkata, beg galas dan jam tangan telah dibawa ke Lausanne untuk analisis forensik.

Tschannen tidak menolak kemungkinan itu telah jatuh ke dalam lubang dan cara mereka berpakaian menunjukkan mereka berada di dalam glasier itu antara 70 atau 80 tahun.

“Mayat-mayat itu berbaring dekat satu sama lain, seorang lelaki dan seorang wanita memakai pakaian sejak zaman Perang Dunia Kedua,” katanya.

Udry-Dumoulin berkata ibunya, seorang guru, jarang pergi berjalan-jalan dengan bapanya, seorang tukang kasut kerana menghabiskan banyak masa di rumah.

Wanita itu berkata, dia tidak pernah berputus asa berharap bahawa pada suatu hari dia akan mencari ibu bapanya, malah pernah memanjat glasier tiga kali untuk mencari mereka.

Dalam tempoh dua bulan selepas kehilangan ibu bapanya, dia dan adik-beradiknya ditempatkan dengan keluarga yang berbeza dan terputus hubungan selama bertahun-tahun.

Dia yang mahu mengadakan majlis pengebumian yang ditunggu-tunggu selama ini dan tetapi tidak akan memakai pakaian berwarna hitam.

“Saya fikir putih lebih sesuai, ia mewakili harapan, yang saya tidak pernah hilang,” katanya.

Beberapa mayat manusia yang dipercayai milik beberapa pendaki yang hilang telah ditemui di Banjaran Alps sejak kebelakangan ini.

Klimatologi mengatakan peningkatan suhu global menyebabkan ais cair, mendedahkan mayat mereka yang hilang selama beberapa dekad. – MalaysiaGazette