Shahidan Kassim

PUTRAJAYA –  Terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sama ada mahu menerima pelawaan Tun Dr. Mahathir Mohamad berdebat dalam Nothing To Hide 2.0.

Bagaimanapun, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim Perdana Menteri wajar menolaknya kerana kerajaan kini tidak ada ‘menyembunyikan’ apa-apa pun.

Sekarang pun nothing to hide (disembunyikan), semua pun kita buat satu persatu.

“Pasal forex pun kita dah ada RCI (Suruhanjaya Siasatan DiRaja) jadi nothing to hide (tiada yang disembunyikan),” jelas Shahidan selepas menyerahkan enam buah bot amphibia kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) di sini petang tadi.

Ditanya mengenai hubungan peribadinya dengan Tun M yang Pengerusi Pakatan Harapan, Shahidan menjelaskan,  dia akan menentang siapa sahaja yang menentang kerajaan.

“Dia (Tun M) sekarang berbeza pendapat, dia bersiap siaga menjatuhkan kerajaan, ini bererti menjatuhkan saya sebab saya dalam kerajaan.

“Sudah pasti siapa yang cuba jatuhkan kerajaan saya akan tentang habis-habisan,” jelas Shahidan yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Terdahulu, enam bot amphibia jenis Sealegas 7.1 meter itu diserahkan kepada APM bagi meningkatkan kecekapan dan kelancaran operasi agensi itu dalam operasi menyelamat ketika bencana.

Keenam-enam buah bot itu adalah sebahagian daripada 23 buah bot dengan nilai keseluruhan RM15.3 juta.

Untuk penerimaan awal ini, kesemua bot akan diagihkan kepada negeri Pahang, Sabah dan Sarawak. – MalaysiaGazette