PARIS – Dua bekas eksekutif industri pertahanan warga Perancis diletakkan di bawah siasatan awal sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap penjualan kapal selam kepada Malaysia pada 2002, kata seorang pegawai perundangan negara itu.

Sumber berkata, Philippe Japiot dan Jean-Paul Perrier, bekas eksekutif Thales dan DCNS, disiasat sebagai sebahagian daripada siasatan jangka panjang berhubung dakwaan sogokan daripada urusniaga kapal selam pada 2002, lapor Reuters.

Japiot dan Perrier menafikan sebarang salah laku lapor media Perancis. Reuters tidak dapat menghubungi individu terbabit.

Menjadi sasaran siasatan awal atau siasatan formal di Perancis tidak semestinya akan dibiacarakan.

Penjualan antara Malaysia dan pembina kapal perang Perancis milik kerajaan Perancis, DCN International (DCNI) berlaku pada 2002.

Syarikat tersebut kemudian menjadi entiti baharu dikenali DCNS, dengan dijenama semula sebagai Naval Group pada tahun ini. Syarikat pertahanan Perancis, Thales memiliki kira-kira sepertiga kepentingan dalam Naval Group.

Jurucakap Thales enggan membuat ulasan berhubung perkara itu.

Jurucakap Navel Group juga enggan membuat sebarang ulasan namun menambah: “Kami meneliti semua perundangan negara dan antarabangsa berkaitan,”. – MalaysiaGazette