Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Seiring dengan penggunaan hashtag yang semakin popular, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mengorak langkah memperkenalkan #SayangMalaysia sebagai salah satu cara untuk menggalakkan perkongsian pengalaman indah melancong di negara ini.

 

Menterinya, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, #SayangMalaysia bukan sahaja akan membantu mempromosi imej sektor pelancongan negara dengan lebih positif, bahkan ia juga akan memberi impak ekonomi yang positif kepada perniagaan-perniagaan yang terlibat dalam sektor pelancongan dan kebudayaan.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua penggiat industri terutama hotel-hotel, agensi pelancongan dan pemandu-pemandu pelancong diseru untuk menguar-uarkan #SayangMalaysia kepada semua pelancong ke negara ini.

Katanya, ia sebagai salah satu usaha terkini kementerian untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan dan kebudayaan bertaraf dunia serta membina jati diri bangsa berteraskan seni, budaya dan warisan.

“Kepentingan kebudayaan sebagai aset negara sememangnya tidak boleh diperkecilkan sama sekali.

“Kita mahu Malaysia menjadi sebuah negara maju dan makmur mengikut kehendak dan acuan kita sendiri. Kita sama sekali tidak mahu apabila negara kita maju, kita kehilangan identiti, budaya serta jati diri,” katanya lagi.

Ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Abdul. Ghaffar A. Tambi dalam majlis rumah terbuka kementerian itu di Pusat Pelancongan Malaysia (MATiC) hari ini.

Dalam pada itu, karektor Upin dan Ipin diumumkan sebagai Duta Pelancongan Malaysia yang terbaharu.

Pelantikan produk keluaran Les Copaque itu sebaris dengan selebriti Malaysia yang lain dalam mempromosikan Malaysia di mata dunia.

Antaranya Prof. Datuk Dr. Jimmy Choo, Yuna, Datuk Chef Ismail dan Shila Amzah. – MalaysiaGazette.