Pengurus Besar Gallery Bookstore, Zafri Hassan bercakap pada sidang media mengenai Privilege Card di Rimbunan Ilmu, Bandar Sri Permaisuri. foto FAREEZ FADZIL, 20 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Gallery Bookstore menawarkan hadiah berupa telefon bimbit dan baucar buku sempena promosi kempen ahli eksklusif kedai buku itu.

Kempen yang bermula dari 20 Julai hingga 31 Disember ini terbuka kepada semua pemegang Kad Privilege Gallery Bookstore dengan membuat pembelian terbanyak.

Pengurus Besar Gallery Bookstore, Zafri Hassan berkata, kad eksklusif yang dilancarkan pada 16 Mei lalu kini sudah mempunyai 1,400 pemegang dan mensasarkan sejumlah 10,000 menjelang akhir tahun ini.

“Kami akan membuat promosi kad ini di semua tujuh cawangan Gallery Bookstore untuk mencapai sasaran ini,” katanya pada pelancaran kad itu.

Gallery Bookstore kini mempunyai cawangan di Masjid Tanah, Bangi, Bandar Sri Permaisuri Cheras, Kuala Kangsar, Alor Setar, Arau, Bertam Pulau Pinang.

Pada September ini, Gallery Bookstore menambah dua lagi cawangannya di AEON Mall Kempas dan Tesco Parit Raja di Batu Pahat serta sebuah lagi sebelum akhir tahun ini.

Zafri berkata, ahli-ahli yang mempunyai kad ini bakal menikmati potongan harga buku sehingga 10 peratus dan lima peratus bagi alat tulis.

“Tetapi semasa promosi berkala mereka boleh menikmati sehingga 50 peratus potongan,” ujar beliau.

Pelanggan yang mahu menjadi ahli kad ini hanya perlu membayar yuran sebanyak RM10 untuk tempoh dua tahun.

Keahlian ahli Kad Privilege dibuka kepada pembeli berusia 16 tahun ke atas. – MalaysiaGazette