Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dibantu Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah (dua kanan) melancarkan model Banggunan Bersepadu ANGKASA pada Majlis Sambutan Hari Raya Perdana ANGKASA 2017 di Dewan Tun Razak 2, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 21 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa supaya urusan dalam institusi koperasi tidak dipolitikkan demi memastikan kelangsungan badan tersebut terus dihormati dan mencatat pertumbuhan yang baik.

Ahmad Zahid berkata, kejayaan sebuah bank yang terbentuk daripada koperasi seperti Bank Rakyat adalah disebabkan tidak ada campur tangan urusan politik dalam organisasi tersebut yang mana keutamaan adalah khusus kepada ahli-ahlinya dan pemegang saham mereka.

“Kita tahu bahawa contoh kejayaan Bank Rakyat sebagai bank koperasi yang terbaik dengan pulangan dividen yang tinggi ini memperlihatkan prestasi mana-mana koperasi termasuk bank yang dikendalikan oleh ahli-ahli profesional tidak dipolitikkan, tidak ada campur politik, tidak ada cucukan politik.

“Jika orang politik kendalikan pun tetapi tidak menyuntik unsur politik saya yakin koperasi itu akan berjalan dengan sebaik-baiknya memberikan keuntungan kepada pemegang saham,” kata beliau semasa menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di Pusat Dagangan Dunia Putra malam ini.

Tegas beliau, tidak dinafikan ada ahli-ahli politik dalam pengurusan koperasi bagaimanapun mereka harus ketepikan perbezaan demi memastikan kepentingan orang ramai dijaga.

“Ini yang diharapkan pihak kerajaan, kita tahu bahawa mungkin ramai yang berminat untuk jadi peneraju tetapi saya mengharapkan agar jangan politikkan mana-mana koperasi walaupun kita ahli politik.

“Walaupun kita ahli politik parti yang berbeza kerana kepentingan ahli-ahli dan pemegang saham koperasi hendaklah diberikan keutamaan mengatasi kepentingan politik, mengatasi kepentingan peribadi seseorang itu,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga mengharapkan sebuah lagi bank koperasi akan ditubuhkan seperti Bank Rakyat untuk memberi peluang kepada rakyat mendapatkan khidmat perbankan terbaik.

“Saya mengharapkan bahawa terdapat sebuah lagi koperasi lagi yang yurannya besar, aset juga besar dan saya pernah bersama-sama dengan kepimpinan koperasi itu dalam waktu terdekat, saya yakin akan diberikan lesen sebagai sebuah bank koperasi satu lagi di negara kita ini.

“Tentunya apabila penubuhan sebuah bank koperasi di negara ini selain daripada Bank Rakyat yang ada, ianya akan memberikan peluang lebih besar kepada ahli-ahli, khususnya koperasi serta rakyat keseluruhannya untuk menggunakan perkhidmatan perbankan yang baik ini,” ujar beliau lagi.

Terdahulu, pada majlis sama Angkasa juga melancarkan model bangunan bersepadu dan bangunan wakaf kepada Majlis Agama Islam Johor.

Majlis tersebut disempurnakan Ahmad Zahid dengan keseluruhan projek berkeluasan 3.58 ekar dengan nilai kasar sebanyak RM220 juta. – MalaysiGazette