Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memeriksa bertih jagung yang telah dikisar dan akan diproses menjadi makanan ayam sambil diiringi Pengerusi NAFAS, Datuk Seri Saipol Bahari Suib (kiri) pada Program Lawatan Kerja Menteri Pertanian Dan Asas Tani ke NAFAS Feedmills Sdn Bhd di Muar, Johor. foto IQBAL BASRI, 21 JULAI 2017

MUAR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mensasarkan penanaman jagung bijian sebagai tanaman kedua terbesar selepas padi di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, tanaman tersebut berpotensi untuk dikembangkan selain dijangka dapat mengurangkan kebergantungan bekalan import daripada luar negara.

Katanya, sebanyak 800 hektar tanaman tersebut dijangka diusahakan pada tahun ini sebelum keluasan berkenaan disasarkan bertambah menjadi 80,000 hektar dalam tempoh lima tahun lagi.

“Sebenarnya, jika mahu menampung permintaan makanan ternakan ayam tempatan, kita memerlukan kawasan seluas 300,000 hektar, namun buat masa ini saya percaya kita mulakan dengan jumlah yang kecil dahulu.

“Ketika ini kita mengimport kira-kira tiga juta tan metrik jagung bijian dari luar negara dan kebergantungan itu perlu diteruskan kerana penanaman jagung bijian mengambil sedikit masa,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) Feedmills Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Sallehuddin Hassan; Pengerusi Nafas, Datuk Seri Saipolbahari Suib dan Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mohd. Salim Taha.

Dalam majlis sama, Ahmad Shabery turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian (MOU) antara Nafas, Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) dan Welmetra Sdn. Bhd. dengan beberapa anak syarikat Nafas berkaitan.

Tambah beliau, pengukuhan rantaian melalui proses penanaman dan pengeluaran jagung bijian itu secara tidak langsung membantu kementerian memastikan harga daging ayam lebih rendah dan stabil. – MalaysiaGazette