Salleh Said Keruak

BUKIT MERTAJAM – Barisan Nasional (BN) akan memperkenalkan manifesto khusus untuk Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dalam usaha merampas semula negeri ini daripada pembangkang.

Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, manifesto itu akan menjadi sandaran kepada rakyat untuk menilai dasar serta program yang akan dilaksana BN ke arah menjadikan negeri ini lebih baik.

Paling utama, kata beliau, manifesto itu juga bagi membolehkan penduduk negeri ini menilai sebanyak 51 janji yang dibuat pembangkang sepanjang sembilan tahun mentadbir negeri ini.

“Antara yang akan menjadi tumpuan kepada BN dalam manifesto itu adalah kestabilan pembangunan dan ekonomi, penyediaan peluang pekerjaan serta tumpuan kepada kawasan pedalaman dan persisiran pantai yang tidak dibangunkan.

“Selain itu, kita juga akan membawa perhatian rakyat kepada kepincangan pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang, sekali gus menawarkan alternatif pentadbiran yang lebih baik di bawah kerajaan BN,” katanya.

Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di sini hari ini.

Beliau menambah, adalah mustahak untuk penduduk negeri ini menyedari sekiranya BN diberi kuasa mentadbir Pulau Pinang semula, kerajaan negeri dapat bekerjasama dengan lebih erat dengan Kerajaan Pusat khususnya dalam agenda menjaga kebajikan rakyat.

Ditanya bila manifesto itu akan dilancarkan, Salleh berkata, pihaknya menyerahkan kepada BN negeri untuk melihat dan berbincang dengan BN Pusat terlebih dahulu sebelum mengumumkannya kepada rakyat.

Terdahulu, ketika berucap merasmikan persidangan itu, Salleh mengingatkan pemimpin-pemimpin UMNO supaya tidak sombong, berlagak dan kedekut dengan ahli akar umbi dan masyarakat bagi memastikan UMNO terus diterima rakyat. – MalaysiaGazette