Ratusan orang seterusnya akan membuat panggilan secara 24 jam ke China dan tidak menghairankan jika jutaan panggilan dapat dibuat dalam sehari sahaja. - foto hiasan

SHENZHEN – Sebanyak enam juta panggilan telefon berunsur penipuan telah dibuat dari Malaysia ke China setiap hari dengan tujuan untuk mengumpan duit penduduk negara tembok besar itu.

Panggilan berkenaan didalangi sindiket penipuan yang merekrut pemanggil dari China dan mendirikan ‘markas-markas’ di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Ratusan orang seterusnya akan membuat panggilan secara 24 jam ke China dan tidak menghairankan jika jutaan panggilan dapat dibuat dalam sehari sahaja.

China Press melaporkan, kebanyakan sindiket adalah dibentuk oleh orang China dan Taiwan.

Selain mendirikan ‘markas’ di Asia Tenggara, ada juga sindiket yang sanggup memilih benua Afrika sebagai tapak operasi.

Pemanggil yang berjaya menjerat mangsa untuk melakukan transaksi akan menerima ‘komisen’ setinggi lapan peratus daripada jumlah duit yang ditipu daripada mangsa.

Pelbagai cara digunakan termasuk menjanjikan ‘insentif anak’ kepada warga China selari dengan perubahan dasar kependudukan oleh pentadbiran pusat di Beijing.

Cara penipuan yang ‘konservatif’ termasuk menjanjikan ‘hadiah cabutan bertuah’ juga masih dijadikan pilihan oleh penipu.

Untuk menipu golongan yang lebih muda pula, media sosial pula digunakan untuk menjerat mangsa.

Sindiket penipuan selalunya menyasarkan kawasan yang mempunyai tahap kekayaan lebih tinggi di China seperti Beijing, Shanghai dan Guangzhou untuk mempromosikan ‘skim pelaburan’.

Di kawasan dengan tahap kekayaan lebih sederhana seperti Jiangsu dan Nanjing pula, penipu akan menawarkan ‘hadiah cabutan bertuah’ sebagai umpan. – MalaysiaGazette