KUALA LUMPUR – Amanah Mutual Berhad (AMB) melancarkan dana AMB GIT yang boleh dilanggan mulai 17 Julai lalu dengan tempoh tawaran selama 45 hari sehingga 30 Ogos ini.

AMB GIT ialah dana bon global tertutup kelas pelaburan dengan jangka hayat selama tiga tahun dan bermatlamat untuk memberi pulangan melalui pembayaran pengagihan pendapatan tahunan selama dua tahun diikuti dengan pembayaran sekali gus pada tarikh matang dana iaitu pada 14 September 2020.

AMB GIT dilaburkan dalam pelbagai portfolio instrumen pendapatan tetap di pelbagai sektor dalam pasaran global.

Dengan pelancaran dana baharu ini, AMB kini mempunyai sejumlah 16 dana di bawah pengurusannya dan lima daripadanya adalah dana patuh Syariah.

Pelancaran AMB GIT oleh AMB yang merupakan anak syarikat Amanah Saham Nasional Berhad sempena ulang tahun ke-10 firma pelaburan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif AMB, Sheila Halim berkata, sempena pelancaran dana itu, Amundi Malaysia dilantik sebagai pengurus pelaburan AMB GIT; RHB Bank Berhad sebagai bank utama dana; Standard Chartered Bank Malaysia Berhad sebagai penjaga dan pemegang amanah dana; dan Malayan Banking Berhad sebagai penyedia perkhidmatan perakaunan dan penilaian bagi AMB GIT.

Menurut Sheila, AMB kini menguruskan kira-kira RM2 bilion aset di bawah pengurusan
(AUM) dan dengan pelancaran AMB GIT akan mengembangkan lagi pengurusan unit asetnya dengan menyediakan produk yang lebih menarik kepada para pelabur.

Sementara itu, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, AMB telah membuktikan komitmen sepanjang 10 tahun kepada para pelanggan dan pelabur dengan mencatat rekod prestasi yang kukuh melalui pulangan yang konsisten .

AMB telah meraih 34 anugerah daripada agensi penyelidikan dana antarabangsa yang terkemuka hasil daripada prestasi cemerlang dana-dananya sejak 2008, katanya. – MalaysiaGazette