Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Noor Azmi Ghazali yang menempelak beliau baru-baru ini.

Ujarnya, sebagai Ahli Parlimen BN, Noor Azmi harus bertanyakan pendirian BN samada mahu bekerjasama dengan Pas atau tidak pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) akan datang.

“Apa pulak dia mahu masuk campur soal (pendirian saya), dia BN. Mengapa dia pulak suruh saya nyatakan pendirian?

“Sepatutnya dia minta pendirian BN mengenai siapa pilihan BN untuk PRU akan datang? Atau dia nak minta pendirian Pas secara mendalam samada bersedia atau tidak dengan BN ataupun PH,” katanya ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka dan Ulangtahun ke 4, Malaysia Gazette di Istana Budaya hari ini.

Memetik laporan BNBBC baru-baru ini, Noor Azmi yang juga Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melabelkan Mahfuz ibarat lalang, yang mempersoalkan tindakannya menyokong Pakatan Harapan (PH) secara terbuka.

““Kalau nak hijau, katakan lah hijau kalau nak oren jilat lah betul-betul, Kalau nak jadi ahli politik yang di hormati mesti ada prinsip .jangan cuba nak naik dua bot sekali,” soal Noor Azmi.

Mahfuz sebelum ini memuji PH kerana berjaya memuktamadkan struktur dan logo rasmi pada hujung minggu lalu.

“Saya masih Pas yang mendokong PH, itu tidak ada masalah pada saya untuk menyokong PH kerana ini demi masa depan negara.

“Ada juga yang kata saya macam “Durian Udang Merah”, luar hijau dalam merah. Bagi saya yang penting bukan orang kata, tapi yang penting itu adalah baik untuk masa depan negara,” jelas bekas Naib Presiden Pas itu.

Mahfuz selalu dilihat rapat dan kerap hadir program-program PH sejak tahun lalu selain mengkritik secara terang-terangan pimpinan Pas. -MalaysiaGazette.