Pamandangan di dalam Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia yang baharu. foto SAFWAN MANSOR, 08 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Akibat menuduh secara melulu, Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan dihalau dari Dewan Rakyat hari ini.

Julian ketika sesi pertanyaan lisan berlangsung, dipercayai menuduh Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam memberi jawapan yang mengelirukan ahli dewan berhubung penyebaran wabak anjing gila yang melanda Sarawak kini.

Julian terdahulu mendakwa vaksin untuk mencegah wabak anjing gila tidak mencukupi sambil merujuk Aturan Mesyuarat Seksyen 36(12).

Dalam seksyen itu, ia menyatakan mana-mana Ahli Parlimen yang memberi kenyataan mengelirukan seolah-olah menghina Dewan Rakyat dan boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Khas.

“Ini adalah krisis yang serius kerana dalam tempoh sebulan sahaja wabak berkenaan telah merebak dari Serian hingga ke Sri Aman dan Batu 17, lebih dari lingkungan 10 kilometer,” kata Julian.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee membuat keputusan demikian setelah mendapati Julian ingkar untuk menurut arahan duduk oleh beliau. -MalaysiaGazette