Rohani Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa kes pembuangan bayi yang dilaporkan pada 2010 hingga Disember 2016 adalah sebanyak 697 kes.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Selangor mencatat negeri tertinggi kes pembuangan bayi dengan 157 kes.

“Lima buah negeri yang mencatatkan jumlah kes tertinggi adalah negeri Selangor sebanyak 157 kes, diikuti dengan Sabah dan Johor masing-masing mencatatkan jumlah kes sebanyak 84 kes. Kuala Lumpur 65 kes, dan Sarawak 49 kes,” jawab Rohani ketika sesi soalan lisan di Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.

Menurut Rohani, sepanjang 2010, 91 kes dicatatkan manakala 98 kes pada 2011.

Namun jumlah itu menurun kepada 89 kes pada 2012 manakala jumlah kes meningkat semula pada tahun 2013, 2014, 2015 dan 2016 iaitu masing-masing mencatat sebanyak 90 kes, 103 kes, 111 kes dan 115 kes.

Rohani turut menjelaskan, jumlah bayi yang ditinggalkan di Baby Hatch kelolaan Kementerian Pembangunan Wanita.

“Berdasarkan statistik OrphanCARE. jumlah bayi yang ditinggalkan di Baby Hatch dalam tempoh tujuh tahun iaitu 2010 hingga 2016 adalah sebanyak 35 kes.

“Pecahan kes mengikut negeri adalah seperti berikut, Selangor 29 kes, Kuala Lumpur dua kes, Negeri Sembilan dua kes, Perak satu kes dan Pahang satu kes,” jawab Ahli Parlimen Batang Lupar itu. – MalaysiaGazette