Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tiga, kanan) pada perasmian Invest Malaysia 2017 hari ini. Turut hadir Menteri Perdaganggan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed (tiga, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan (kiri). --FotoBERNAMA

KUALA LUMPUR – Kerajaan pada dasarnya bersetuju bagi penubuhan Unit Integriti dan Tadbir Urus di semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), serta entiti perniagaan milik negeri dan kementerian.

Unit berkenaan akan berada di bawah pengawasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata inisiatif itu untuk mengukuhkan keyakinan bahawa semua boleh, sepatutnya dan ada di Malaysia.

“Masyarakat perniagaan mahu kepastian bahawa kerajaan komited terhadap pembaharuan yang diperlukan, dan untuk memupuk budaya keusahawanan, ketelusan, akauntabiliti, serta peraturan yang baik,” kata beliau dalam ucaptama di Invest Malaysia 2017 di sini hari ini.

Sementara itu, mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Najib berkata proses rasionalisasinya berjalan lancar, dan banyak aset yang dahulunya dimiliki oleh syarikat itu berkembang maju.

“Di 1MDB, jelas terdapat kelemahan dalam tadbir urus.

“Bagaimanapun, kita tidak menyembunyikannya malah mengarahkan penyiasatan ke atas syarikat pada skala yang belum pernah terjadi sebelum ini dalam sejarah negara kita.

“Daripada menggunakan wang untuk menutup sebarang masalah yang mungkin dihadapi 1MDB,seperti yang selalu dilakukan oleh seorang bekas pemimpin, saya mengarahkan proses rasionalisasi ke atas syarikat itu,” katanya.

Najib berkata walaupun terdapat masalah di 1MDB, beberapa ahli politik telah membesar-besarkan isu berkenaan serta cuba mensabotaj syarikat itu, dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan antara pilihan raya.

“Namun ia (rasionalisasi 1MDB) berjalan lancar. Memang, banyak aset yang pernah dimiliki 1MDB kini berkembang maju.

“Kita hanya perlu melihat pembinaan baru di Tun Razak Exchange untuk pengesahan,” katanya.

— BERNAMA