Razlan Rafii
Razlan Rafii

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan hari ini mendakwa geng Armada yang memulakan provokasi dalam kekecohan yang berlaku di sini semalam.

Ketuanya, Datuk Razlan Rafii berkata, provokasi itu dibuat sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) melalui media sosial.

“Mereka nak datang dengan jumlah 100 hingga 150 orang, jemputan melalui semua medium siber mereka tapi datangnya 20 orang.

“Mereka membawa placard provokasi. Sekiranya niat hantar memorandum dengan aman, tak perlu bawa sepanduk biadap.

“Nak hantar memorandum, biarlah kena dengan adabnya,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas insiden kekecohan antara Pemuda UMNO dan Armada PPBM yang mahu menghantar surat jemputan kepada Presiden UMNO menyertai debat Nothing To Hide 2.0.

Menurut Razlan, geng Armada sepatutnya menghantar surat jemputan berkaitan isu 1MDB kepada Perdana Menteri di Putrajaya bukan di ibupejabat UMNO di PWTC.

“Mereka (Armada) juga dakwa ditumbuk, sebenarnya tidak ditumbuk dan berlaku tolak menolak iaitu perkara biasa jer. Mereka dah minta maaf dan akui tiada yang tumbuk,” dakwanya.

Menurut Razlan, pihaknya tidak akan membiarkan kes Adam Adli yang bertindak biadap menurunkan bendera UMNO di PWTC berulang dua kali.

“Banyak cara boleh hantar memorandum, antaranya menggunakan perkhidmatan Pos Laju, courrier, email, faks dan sebagainya. Nak juga hantar berkumpulan dan siap buat provokasi tu, dah kenapa?” soalnya.

Semalam, mengulas perkara yang sama, Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa Pemuda UMNO masih mengamalkan budaya samseng dalam politik.- MalaysiaGazette