Mohamed Azmin Ali
PUTRAJAYA – Pemimpin pembangkang yang paling layak membantu Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli membayar ganti rugi dan kos saman fitnah National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Presiden Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, Azmin satu-satunya pemimpin PKR yang menerima insentif bonus Aidilfitri terbesar dengan bayaran dua setengah bulan.
“Seperti yang diketahui umum, Azmin dapat elaun paling banyak, dua bulan bonus raya.
“Saya fikir Azmin paling layak dan sesuai bantu Rafizi walaupun mereka berdua tak sependapat. Tak payah susahkan rakyat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau mengulas rayuan Rafizi kepada orang ramai sebelum ini yang meminta bantuan daripada orang untuk mengumpul dana sehingga RM300,000 bagi membayar ganti rugi dan kos saman NFC.
Sekiranya Rafizi gagal membayar kos tersebut, ahli Parlimen Pandan itu bakal berdepan dengan risiko diisytiharkan muflis.
Saman itu difailkan selepas Rafizi mendakwa Pengerusi NFC, Datuk Seri Mohd Salleh Ismail membeli lapan hartanah di KL Eco-City menggunakan dana awam.
Pada tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Rafizi bersalah dan memerintahkan pengasas INVOKE itu membayar RM150,000 kepada Salleh dan RM50,000 kepada NFC serta kos sebanyak RM100,000. – MalaysiaGazette