SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shah Alam menyelar tuduhan Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Azhari Shaari berhubung penyalahgunaan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) oleh kerajaan Selangor.

Sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai terjahan melulu, Ketua Penerangan AMK Kawasan, Mohd Idris Abdul Halim berkata, UMNO Bahagian itu perlu lebih banyak mendapatkan maklumat sebelum membuat dakwaan tidak berasas.

Kata beliau, tuduhan kononnya kerajaan Selangor menyalagunakan wang Marris untuk projek naik taraf Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Jawa dan Kampung Kuantan di Klang tidak benar sama sekali.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail sudah menjawab isu itu beserta dengan bukti.

“Jadi, tidak timbul lagi dakwaan kerajaan negeri menyalahgunakan wang Marris untuk membina dewan di dua JKKK berkenaan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Selasa lalu, Azhari mendakwa berlaku penyalahgunaan peruntukan Marris yang disediakan kerajaan Persekutuan bagi membina dua dewan di Kampung Padang Jawa dan Kampung Kuantan.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam berkata, seharusnya dana itu digunakan untuk kerja penyelenggaraan jalan, bukan tujuan lain.

Menurut Mohd Idris, tuduhan itu membuktikan UMNO Bahagian Shah Alam daif isu dan sentiasa berusaha mencari kesalahan kerajaan negeri sehingga kesilapan kecil pihak kontraktor diperbesarkan.

Jelas beliau, AMK optimis warga Shah Alam meletakkan penghargaan kepada Rodziah kerana konsisten memperjuangkan kemudahan rakyat seperti dewan dan Bas#SmartSelangor.

“Rakyat Selangor bijak menilai ketelusan kerajaan Negeri Selangor dengan reputasi cemerlang mendapat pujian laporan Ketua Audit Negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast