Philippe Coutinho

LONDON – Liverpool dilihat sengaja enggan menjual Philippe Coutinho apabila meletakkan harga €150 juta dalam usaha untuk menyekat hasrat kelab-kelab lain.

Sport melaporkan, nilai harga tinggi ditujukan kepada Barcelona kerana Liverpool sangat terdesak untuk mengekalkan pemain bintang mereka itu.

Sebelum ini, Coutinho dianggarkan bernilai €80 juta tetapi kini angka itu kelihatan meningkat hampir dua kali ganda.

Coutinho telah menunjukkan peningkatan sejak dia menyertai Liverpool dari Inter Milan pada musim panas 2013.

Pemain berusia 20 tahun itu kemudiannya mempamerkan prestasi dan perkembangannya yang amat mengagumkan pada musim lalu.

Pemain dari Brazil ini juga sering menjadi pilihan bermain untuk negaranya.

Musim lalu, Coutinho membantu Liverpool menamatkan saingan dalam empat pasukan teratas Liga Perdana Inggeris.

Di samping itu, dia turut menyumbang 13 gol dan tujuh assist dalam 31 perlawanan.

Gergasi Sepanyol, Barcelona dipercayai paling berminat dan telah lama memerhatikan Coutinho. – MalaysiaGazette