Merve Kavakci

ISTANBUL – Bekas ahli parlimen Parti Virtue, Merve Kavakci, yang disingkirkan daripada parlimen pada 1999 kerana memakai tudung telah dilantik sebagai Duta Turki ke Malaysia yang baharu, menerusi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan negara tersebut pada Rabu lalu.

Adik perempuannya, Ravza Kavakci Han yang juga seorang ahli politik, menyifatkan kes Kavakci sebagai ‘kempen pembunuhan politik’ yang telah membentuk politik Turki bertahun-tahun lamanya.

Graduan Harvard University, Kavakci adalah seorang profesor di George Washington University dan Howard University di Washington DC. Bagaimanapun, beliau pulang ke Turki untuk menyertai politik dan dipilih sebagai Timbalan Virtue Party, parti politik konservatif pada April 1999.

Pada 2 Mei 1999 Kavakci memasuki Parlimen Turki (Turkish Grand National Assembly) dengan memakai tudung untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Turki.

Pada ketika itu, Timbalan Democratic Left Party (DSP) melaungkan ‘keluar’, menghalangnya daripada mengangkat sumpah. Perdana Menteri dan Pengerusi DSP, Bulent Evecit menyampaikan ucapan yang mana beliau berkata; “Di sini (Parlimen) bukan tempat untuk mencabar negara. Tolong buat wanita ini bekrjasama,”.

Ahli Parlimen Democratic Left Party menghalang Merve Kavakci mengangkat sumpah sebaik sahaja beliau melangkah masuk ke Parlimen.

Kavakci kemudiannya dipecat daripada Parlimen dan kewarganegaraannya dibatalkan. Selepas itu beliau pergi ke Amerika Syarikat (AS) dan mendapat kewarganegaraan AS pada tahun yang sama.

Wanita yang bertudung ini telah lama dilihat sebagai ancaman kepada Turki yang mengamalkan sistem sekular. Walaupun Mustafa Kamal Ataturk, pengasas Turki moden, tidak mahu pengaruh Islam dalam hal ehwal negara itu namun beliau tidak pernah mengharamkan wanita memakai tudung.

Larangan pemakaian tudung pertama di institusi awam dilaksanakan selepas rampasan kuasa oleh tentera pada 1980. Bagaimanapun, ketika pergerakan dan parti politik konservatif menjadi semakin popular, larangan tersebut diperketatkan.

Kavakci dipilih sebagai Ahli Parlimen dua tahun kemudian walaupun ahli politik itu terus ditekan. Parti politik beliau merupakan pengganti kepada parti pimpinan Necmettin Erbaka, Welfare Party yang diharamkan.

AK Party mencatatkan kemenangan besar pada pilihan raya umum 2002 namun tidak mampu mengubah larangan tersebut berikutan pengaruh pembangkang yang masih kuat. Selepas bertahun-tahun berdebat, larangan memakai hijab di universiti dihapuskan pada 2010 dan semua institusi negeri pada 2013.

Kavakci mendapat semula kewarganegaraan Turki menerusi keputusan Kabinet pada Mei 2017. – Agensi