Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memotong pulut kuning sambil diiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (dua kiri) dan Presiden Gabungan Persatuan Malabari Malaysia, Datuk Seri Mustaffa Abdul Rahman (dua kanan) pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Malabari Malaysia 2017 di Kompleks Surau Malabar Hidayatul Islam Selayang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 29 JULAI 2017.

KUALA LUMPUR – Susulan tindakan kejam rejim Israel yang menutup Masjid Al-Aqsa, Malaysia dengan tekad menyokong usul Indonesia kepada Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) agar mengadakan persidangan khas berhubung isu berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, Islam kini menjadi sasaran disebabkan umatnya tidak bersatu dalam menangani masalah yang dihadapi beberapa buah negara Islam sebelum ini.

Justeru, inisiatif Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi harus disokong demi kepentingan Islam di masa akan datang.

“Menteri Luar Indonesia telah mendesak supaya Persidangan Negara-negara Islam (OIC) untuk mengadakan persidangan tergempar bagi menghadapi masalah di Baitulmuqaddis.

“Malaysia menyokong usaha persidangan khas OIC untuk mempertahankan Baitulmuqaddis dan membuka semula Masjid Al-Aqsa,” katanya dalam dalam Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Malabari Malaysia 2017 di Kompleks Surau Malabar Hidayatul Selayang, hari ini.

Putrajaya kata Zahid, menyambut baik inisitaif berkenaan dan mendesak agar OIC patuh akan desakan untuk mengadakan persidangan khas tidak lama lagi.

“Kini dunia Islam hadapi cabaran, kita lihat bagaimana rejim Israel telah tidak benarkan umat Islam untuk solat di dalam Masjid Al-Aqsa.

“Mereka tertekan apabila imam ditembak kerana beliau menunaikan solat di luar masjid.

“Marilah kita umat Islam di Malaysia ketepikan perbezaan politik dalam kalangan kita dan menuntut supaya Masjid Al-Aqsa diizinkan memasuki tanpa sekatan untuk umat Islam menunaikan solat. Kita tidak mahu hak kita beragama diganggu,” katanya lagi.

Pada Khamis, Israel dilaporkan telah mengeluarkan lebih banyak pemasangan sekatan-sekatan keselamatan di pintu masuk Masjid Al-Aqsa.

Ia ekoran protes dan rusuhan yang dilancarkan penduduk Palestin dalam beberapa hari kebelakangan ini. -MalaysiaGazette.