SPRM
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kuching, Sarawak pada 2014.

Sumber memberitahu Bernama bahawa dua daripada mereka merupakan pengarah sebuah syarikat yang dilantik sebagai ejen untuk menguruskan pembelian hotel berkenaan.

Kedua-duanya yang berusia 47 dan 51 tahun ditahan di pejabat SPRM Putrajaya pada 9 pagi selepas memberi keterangan berhubung siasatan kes berkenaan.

“Seorang lagi ditahan di pejabat SPRM Kuching pada 1.30 tengah hari tadi. Dia merupakan pengarah syarikat berusia 57 tahun yang memiliki hotel tersebut,” kata sumber itu di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan tiga individu itu.

Beliau berkata Mahkamah Majistret Putrajaya mengeluarkan perintah tahanan reman selama tujuh hari sehingga 4 Ogos ini terhadap dua pengarah syarikat itu bagi membantu siasatan berkenaan.

“Seorang lagi suspek akan direman pagi esok di Mahkamah Majistret Putrajaya,” katanya.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad mengarahkan kertas siasatan dibuka bagi menyiasat pembelian hotel berkenaan, yang disyaki telah dibeli dengan harga yang jauh lebih tinggi daripada harga pasaran.

— BERNAMA