Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

PANDAN INDAH – Kehadiran Menteri Besar Selangor ke Majlis Terbuka Aidilfitri anjuran Pas DUN Chempaka hari ini menguatkan lagi spekulasi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu bakal bertukar kerusi ke Parlimen Ampang.

Kawasan Chempaka merupakan salah satu kerusi DUN dalam Parlimen Ampang selain DUN Lembah Jaya dan pengundi disitu merupakan kubu kuat pembangkang dimana Pas sudah memenanginya selama dua penggal berturut-turut.

Dalam ucapannya, Mohamed Azmin cuba mengambil hati Ahli Dewan Undangan Negeri Chempaka, Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga merupakan Exco Selangor dengan memuji tokoh kepimpinan yang ditunjukkan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu yang berjaya menawan hati pengundi.

“Tahniah saya ucapkan dimana rakyat disini menerima baik kepimpinan YB Datuk Iskandar Abdul Samad sebagai wakil rakyat kita di DUN Chempaka,” ucapnya di Padang MPAJ, Pandan Indah hari ini.

Mohamed Azmin juga bersyukur dengan perpaduan yang ditunjuk oleh rakyat di Selangor dan mempromosi kejayaan pentadbirannya sejak mengambil alih tampuk kerajaan negeri tersebut.

“Saya mewakili negeri Selangor juga merasa syukur kerana walaupun negeri ini yang pelbaga kaum, agama dan budaya tetapi atas prinsip dan semangat yang jelas kita dapat menjamin satu perpaduan yang cukup utuh kerana perpaduan itu lah menjamin kejayaan kita pada masa akan datang

“Pada hari ini kita bersyukur kerana negeri Selangor terus mencipta kejayaan dan menjana satu pertumbuhan ekonomi yang cukup baik dan dengan pertumbuhan serta program rangsangan ekonomi ini kita dapat memberikan perkhimatan yang baik di negeri Selangor dan terus membangunkan negeri ini,” ujarnya.

Beliau juga turut memberi jaminan beliau bersama Iskandar akan terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat Selangor.

“Saya memberi jaminan dengan Iskandar Abdul Samad dan seluruh saf kepimpinan kami akan memberikan perkhidmatan dan kami akan bekerja dengan lebih kuat kerana ini lah tanggungjawab yang diberikan kepada kami untuk menjaga rakyat di Selangor ini dan membangunkan negeri ini dengan baik dan jayanya,” katanya.

Sementara itu, Iskandar yang ditemui semasa majlis tersebut apabila ditanya mengenai spekulasi Azmin akan bertanding di Parlimen Ampang pula enggan memberikan sebarang ulasan terhadap perkara tersebut.

“Saya tidak tahu (Ampang dan Pandan), sekarang ini kita (Pas) lihat nak bertanding di DUN Chempaka dan kita belum putuskan.

“Semua spekulasi sahaja, jadi saya tidak mahu buat sebarang ulasan mengenai spekulasi ini,” kata Iskandar yang juga Naib Presiden Pas Pusat.

MalaysiaGazette sebelum ini mendedahkan Azmin mungkin berpindah daripada kerusi yang diwakilinya ketika ini iaitu Gombak ke Ampang.

Antara lain, penganalisis percaya, ia disebabkan kedudukan hubungan semasa antara PKR dan Pas.

Pada PRU-13 lebih empat tahun lalu, Mohamed Azmin mengalahkan dua calon lain di Gombak dengan majoriti 4,734 undi. – MalaysiaGazette