Lambang roket DAP
PULAU PINANG – Seorang kolumnis veteran mengingatkan DAP supaya tidak menganggap kemenangan mudah sebagai suatu yang pasti untuk parti itu di Pulau Pinang.
Yang Shan Yung, seorang kolumnis di Oriental Daily berkata, kegagalan DAP dalam Projek Tanjung 2 dan Tanjung 3, masing-masing pada Pilihan Raya Umum tahun 1990 dan tahun 1995 menunjukkan Gerakan mampu menongkah arus jika parti komponen Barisan Nasional (BN) itu menggunakan strategi yang betul.
“Seperti yang didedahkan Tan Sri Koh Tsu Koon (bekas Ketua Menteri Pulau Pinang), poster dan iklan Gerakan yang mencuri perhatian telah membantu kemenangan parti itu,” katanya.
Pada masa itu, Gerakan mengingatkan bahawa pengundi telah memberi peluang kepada pemimpin DAP, Lim Kit Siang pada tahun 1986 dan tahun 1990 sehingga Tsu Koon dan Tun Lim Chong Eu kecundang di tangan pemimpin pembangkang tersebut.
Gerakan seterusnya mengajak pengundi Pulau Pinang memberi peluang kepada Tsu Koon pula dalam Pilihan Raya Umum tahun 1995.
Gerakan pada masa yang sama menenteramkan pengundi dengan menyatakan penduduk Pulau Pinang tidak akan kehilangan Kit Siang jika mengundi Gerakan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana Kit Siang bertanding secara serentak di kerusi DUN dan Parlimen.
Kempen Gerakan ternyata berkesan apabila Kit Siang mengalami kekalahan teruk apabila keputusan diumumkan.
“Dengan melihat semula sejarah, adakah DAP masih berdegil dan menganggap ia boleh memenangi pilihanraya secara mudah seperti dalam tahun 2008 dan tahun 2013?” tanya Shan Yung.
Penulis itu mengingatkan bahawa sokongan pengundi adalah berubah-ubah dan Gerakan boleh ‘memadam api’ dan DAP juga boleh jadi ditenggelamkan semalaman.
“Yang malangnya, parti yang menang pilihan raya melalui tsunami politik ini telah mengabaikan suara hati rakyat dan meletakkan diri sebagai tuhan.
“Mereka mewujudkan musuh di merata-rata tempat termasuk dalam parti sendiri, dalam kalangan rakan pakatan, media, penulis dan pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.- MalaysiaGazette