Najib Razak.

LIPIS – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi menegaskan menukar kerajaan yang sedia ada bukanlah jaminan dan jalan penyelesaian terbaik kepada semua masalah, malah dikhuatiri akan lebih memudaratkan negara dan rakyat.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata rakyat seharusnya mengambil iktibar daripada peristiwa kebangkitan rakyat atau Arab Springs yang menyaksikan banyak negara Timur Tengah seperti Iraq, kini bergolak.

“Menukar kerajaan bukan penyelesaian, kalau lebih baik masuk akal… kalau lebih buruk, lebih mendatang bala dan bencana serta lebih tidak menentu, lebih mendatangkan bala dan bencana… itu bodoh punya kerja… Minta maaf terpaksa kata.

“Doktor saya di IJN (Institut Jantung Negara) bagi tahu ada pesakitnya orang Iraq apabila tanya mana lebih baik dahulu atau sekarang, dia kata seburuk-buruk zaman Presiden Saddam Hussein sekurang-kurangnya mereka ada makanan di atas meja, anak boleh ke sekolah, keadaan negara aman.

“Tetapi sekarang lihatlah, hancur lebur semuanya… kerana itulah menjatuhkan kerajaan sedia ada tidak akan menjanjikan kerajaan yang lebih baik,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Lipis di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis di sini hari ini.

Persidangan turut dihadiri Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua UMNO Bahagian Lipis Datuk Abdul Rahman Mohamad dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian  Datuk Seri Mohd Soffi  Abd Razak.

Beliau berkata Malaysia telah melalui banyak fasa pembangunan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) baik di kawasan bandar dan luar bandar dengan pelaksanaan projek-projek ekonomi berimpak tinggi selain kebajikan rakyat sentiasa dibela.

“Sehingga hari ini pakar-pakar ekonomi mengatakan Malaysia hari ini berjaya terlepas daripada perangkap pendapatan pertengahan. Malaysia kini merupakan negara ke-25 paling berdaya saing dunia. Perkembangan ekonomi negara kita juga diramalkan boleh menghampiri tahap lima peratus.

“Malaysia bukan negara gagal, kenapa perlu menukar kerajaan kalau kerajaan sedia ada boleh membantu rakyat dan membangunkan negara,” katanya.

Sementara itu Najib berkata kekuatan parti UMNO bukan terletak kepada individu mahupun presiden, tetapi adalah disebabkan perpaduan di kalangan tiga juta  anggotanya di seluruh negara.

“Malah bila Allahyarham Datuk Onn Jaafar, pengasas UMNO meninggalkan parti ini, UMNO tidak terkubur begitu sahaja, malah parti keramat ini terus kekal subur sehingga kini, sebab itu apabila Tun Dr Mahathir Mohamad kata dia tidak akan kembali kepada UMNO, go ahead… tak jadi masalah kepada UMNO.

“Saya bukan takbur, saya bukan hina dia kerana saya sedar dan tawaduk kekuatan saya kini adalah disebabkan sokongan oleh lebih tiga juta anggota parti ini,” katanya.

Beliau  turut menempelak Dr Mahathir yang sering membuat serangan terhadap dirinya terutama dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedangkan beliau (Dr Mahathir) sendiri gagal ketika mentadbir sehingga negara mengalami kerugian berbilion ringgit.

“Proton dia gagal kita kena selamatkan dengan beri RM1.5 bilion dan tambah lagi RM1.5 bilion,  MAS rugi, Perwaja rugi, Bakun rugi dan macam-macam lagi rugi. Zaman dia, kerugian sebanyak RM33 billion akibat pertukaran asing (forex), siapa nak jawab.

“Dia asyik sebut pasal 1MDB sedangkan kita ada tanah dan aset yang boleh tarik pelabur dan mengembalikan semula keuntungan. Tetapi  RM33 billion itu siapa nak jawab…  Dr Mahathir nak jawab?  Jawablah di RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) nanti,” katanya. – MalaysiaGazette