Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menurunkan tandatangan pada Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Langat di Kelab Amverton Klang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 29 JULAI 2017

KLANG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membayangkan mana-mana wakil rakyat dari UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dahulunya susah tetapi tiba-tiba berubah sekelip mata menjadi kaya akan ditukar dengan calon lain yang lebih disenangi rakyat.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, parti tidak memerlukan wakil rakyat seperti itu lagi kerana imejnya boleh menjejaskan parti dan menyebabkan rakyat lari tidak menyokong BN.

“Sudahlah UMNO dan BN menjadi sasaran pihak lawan yang sepanjang masa menabur fitnah. Kita pula membawa imej buruk yang dibenci rakyat.

“Kalau sebelum menjadi wakil rakyat, kita hidup susah, pakai kereta murah. Apabila jadi wakil rakyat (tidak sampai sepenggal) tiba-tiba hidup kita berubah secara mendadak. Jadi kaya raya sehingga lupa kepada rakyat di bawah.

“Mereka ini, tidak akan ada lagi pada pilihan raya umum akan datang. Daripada kita tahu mereka akan kalah awal, baik kita tukar kepada mereka yang lebih berwibawa dan berjiwa rakyat,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Langat di sini semalam.

Menurut Ahmad Zahid, pemimpin UMNO dan BN yang sudah berstatus wakil rakyat sepatutnya lebih kuat bekerja mendekati masyarakat, mendengar denyut nadi pengundi, bukan menghabiskan masa di luar kawasan.

Kata beliau, formula untuk UMNO dan BN mahu kekal menang serta memerintah sesebuah negeri sangat mudah iaitu memperhambakan diri kepada rakyat.

“Jika nama kita sudah melekat di hati rakyat, mereka tidak akan memilih orang (calon) lain lagi. Mereka akan setia dan mengundi kita,” katanya. – MalaysiaGazette