Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abd. Rahim.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang kecewa dengan sikap Zunar yang menuduh punca mereka punca dia membatalkan pameran karikaturnya.

Ketuanya, Rafizal Abd. Rahim berkata, andaian Zunar itu satu tuduhan liar daripada seorang yang tidak beretika, biadab dan kurang ajar.

“Pemuda UMNO tidak langsung mempunyai masalah jika beliau mempamerkan ratusan atau ribuan hasil lukisan beliau tetapi kami punyai masalah jika lukisan itu menyentuh dan mempersendakan pemimpin kami.

“Ini sajalah niat kami untuk turun melihat pameran beliau,tiada langsung niat untuk membuat kacau bilau,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Rafizal juga mengingatkan Zunar untuk tidak mempertikaikan kewibawaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mengatakan bahawa mereka tidak akan mengambil tindakan terhadap Pemuda UMNO.

“Beliau (Zunar) perlu buat sedikit penyelidikan dan carian melalui internet dan beliau akan tahu bahawa Pemuda UMNO Pulau Pinang pernah di bawa ke muka pengadilan dan diambil tindakan ekoran tindak tanduk kami,” katanya.

Rafizal juga berharap Zunar tidak akan ‘serik’ untuk terus mempamerkan hasil lukisan beliau. – MalaysiaGazette