Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Mahkamah Jenayah Seksual sudah menerima pendaftaran
62 kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak setakat 26 Julai 2017, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, daripada jumlah tersebut, 11 kes telah selesai, 25 dalam sebutan dan 26 kes masih dalam perbicaraan.

Semua kes tersebut akan dibicarakan dan akan dilupuskan dalam tempoh setahun dari tarikh ia didaftar di mahkamah tersebut.

“Kes-kes yang didaftarkan di bawah Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak akan diselesaikan atau dilupuskan dalam tempoh setahun dari tarikh ia didaftar di mahkamah tersebut.

“Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang di Putrajaya telah menyediakan keperluan bagi prasarana yang khusus seperti sistem teknologi dan infrastruktur yang bersesuaian dengan mahkamah khas tersebut,” kata beliau ketika menjawab soalan daripada Datuk Dr Noraini binti Ahmad (BN-Parit Sulong) pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Azalina lagi, mahkamah tersebut dilengkapi dengan beberapa kemudahan seperti sistem rakaman dan bilik saksi yang mengikut prosedur perbicaraan.

“Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak ini telah dilengkapi dengan sistem Court Recording Transcription (CRT), Sistem Audio Visual dan Bilik Saksi Kanak-Kanak dan Bilik Menunggu Saksi Kanak-Kanak (Bilik PERMATA),” katanya.

Menurutnya lagi, prasarana khusus ini amat penting demi membantu prosiding perbicaraan di mahkamah khas tersebut.

Kemudahan yang disediakan ini dapat memastikan perbicaraan dan pendengaran kes dijalankan dengan cepat dan berkesan.

“Sistem Audio Visual ini membolehkan saksi kanak-kanak lebih selesa untuk memberi keterangan di luar mahkamah terbuka dalam bilik berasingan.

“Sistem ini juga membantu pihak pendakwa raya dan peguam untuk mengendalikan prosiding mahkamah,” katanya.

Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak 22 Jun lalu di Istana Kehakiman, Putrajaya adalah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

Ia telah mula beroperasi secara rasmi pada 4 Julai 2017.

Pada peringkat permulaan, mahkamah ini ditubuhkan di Putrajaya untuk mendengar dan memutuskan kes-kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam daerah Shah Alam, Petaling Jaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya. – MalaysiaGazette