Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin hairan dengan sikap pengusaha stesen minyak yang mengadu mengalami kerugian akibat kejatuhan harga minyak walhal semasa mendapat untung tidak pula mereka mengadu.

Hamzah berkata, dalam perniagaan ia menjadi lumrah untuk seseorang peniaga atau pengusaha berdepan risiko untung atau rugi dan mereka perlu bersiap-sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Apabila harga minyak naik mereka tidak pula mengadu kepada YB Sik keuntungan yang mereka peroleh, jadi masa turun dia adu rugi masa naik dia tak adukan kepada sesiapa pun.

“Jadi masalah yang kita ada disini adalah perniagaan di mana seseorang yang berusaha untuk menjadi seseorang peniaga dia mesti mengambil risiko,” kata Hamzah semasa menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sik, Dr Mansor Abdul Rahman di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Mansor dalam soalannya bertanya kepada menteri berhubung rungutan yang diterima daripada pengusaha stesen minyak ekoran pengenalan sistem apungan setiap minggu oleh kerajaan.

Namun, Hamzah memberi jaminan kerajaan sentiasa mencari jalan untuk memberi keselesaan kepada pengusaha stesen minyak dan juga pengguna untuk mendapatkan situasi menang-menang.

“Risikonya sama ada harganya turun atau naik, ia adalah kerana bila kita nak berniaga ini mestilah mengetahui dengan lebih mendalam akan apa segala yang kita lakukan.

“Walaubagaimanapun, oleh kerana kementerian ini sebagai sebuah kementerian yang caring kita berjumpa mereka dan berbincang dengan mereka bagaiaman caranya untuk memastikan dalam apa jua keadaan sekali pun mereka tidak alami kerugian yang besar,” ujar beliau.

Hamzah berkata, kerajaan mencari jalan untuk memastikan walaupun pengusaha mengalami kerugian ia tidak terlalu besar sehingga memberikan kesan teruk kepada perniagaan mereka.

“Kalau ada pun rugi, ia masih boleh diterima oleh mereka sebab bagaimana sekali pun mengikut tren harganya ia ada kadangkala turun kadangkala naik.

“Insyaallah harga bahan api ini akan naik dari semasa ke semasa kalau kita lihat tren beberapa minggu baru-baru ini,” ujar beliau.

KPDNKK sudah bertemu dan berbincang bersama syarikat minyak pada 20 Jun dan 6 Julai baru-baru ini bagi membincangkan dan menambah baik pelaksanaan harga mingguan petrol dan diesel.

Hamzah berkata, hasil keputusan daripada perbincangan tersebut akan diumum dalam masa terdekat dan memberi jaminan ia akan memberi keselesaan kepada kedua-dua belah pihak.

“Kementerian sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk mengambil kira segala faktor sebelum dapat melaksanakan strategi baharu bagi memastikan semua pihak merasa dengan pelaksanaan yang dijalankan,” ujarnya. – MalaysiaGazette