Bekas kakitangan TNB yang ditahan SPRM Batu Pahat kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada seorang pemilik restoran pada Ogos tahun lalu.

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang bekas pekerja TNB (Tenaga Nasional Berhad) Batu Pahat hari ini kerana disyaki terlibat meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang pemilik restoran di Batu Pahat.

Suspek ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Batu Pahat kira-kira pada 4 petang ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan berhubung kes tersebut.

Hasil siasatan yang dijalankan, suspek disyaki meminta dan menerima wang sebanyak RM3,200 daripada pemilik restoran terbabit sebagai dorongan mempercepatkan proses pemasangan meter elektrik di restoran terbabit pada Ogos 2016.

Semasa kejadian berlaku, suspek berusia 31 tahun dan bertugas sebagai Penolong Juruteknik Tingkatan Kanan di Bahagian Pemotongan Meter Elektrik, TNB Cawangan Batu Pahat.

Kes tdisiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang mana boleh dikenakan hukuman denda 5 kali nilai rasuah atau RM10,000 mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut namun enggan mengulas lanjut. – MalaysiaGazette