Bukan Parlimen Johor Bahru tetapi Lim Kit Siang akan mempertahankan kerusi parlimen Gelang Patah yang disandangnya yang kini ditukar nama kepada Iskandar Puteri.
Lim Kit Siang.

KUALA LUMPUR – Jika suatu ketika dahulu parti pembangkang yang selalu menghentam Tun Dr Mahathir Mohamad dengan gelaran ‘mamak’, kini mereka pula mempertahankan bekas perdana menteri itu selepas pendedahan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Terbaharu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang tampil mempertahankan bekas musuhnya itu dengan membidas tindakan tersebut sebagai satu penghinaan kepada keturunan dan bangsa seseorang.

“Ahmad Zahid seharusnya mengakui kesilapannya kerana meremehkan keturunan Dr Mahathir.

“Beliau harus membuat permohonan maaf dengan ikhlas bagi membolehkan negara bergerak ke hadapan untuk menyambut Hari Kebangsaan ke-60 akan datang.

“Mari kita mulakan dengan menghormati keturunan dan budaya orang lain kerana semua perdana menteri Malaysia mempunyai keturunan yang bercampur,” kata Kit Siang ketika sidang medianya mempertahankan Dr Mahathir di Parlimen, hari ini.

Langkah Kit Siang dilihat suatu yang menghairankan memandangkan pemimpin DAP itu pernah menulis dua buah buku menyentuh isu skandal kegagalan pelaburan Forex pada tahun 80an dan sering mengkritik salah laku dibawah pemerintahan Dr Mahathir.

Selain itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah menghina Dr Mahathir sebagai ‘mamak’ semasa era reformasi selepas pemecatannya.

Ahmad Zahid baru-baru ini menyentuh keturunan Dr Mahathir ketika berucap dalam mesyuarat agung UMNO Kelana Jaya.

Beliau dilaporkan menyentuh keturunan India dalam nama susur galur Dr Mahathir a/l Iskandar Kutty. – MalaysiaGazette