Nur Jazlan Mohamed, foto Arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – “Apa yang dikatakan Ahmad Zahid itu adalah benar cuma ada pihak yang mengambil peluang untuk mempolitikkan perkara ini kerana takut sokongan terhadap Dr. Mahathir akan kurang kerana kebenaran tersebut.”

Itu kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini berkenaan isu bosnya yang menerima kecaman pembangkang berkenaan isu keturunan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau juga menjelaskan, maklumat tersebut malah sebenarnya merupakan maklumat awam yang tidak dianggap sebagai rahsia.

Menurutnya, sekiranya ada pihak yang tidak mempercayai apa yang didedahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh memeriksa sendiri rekod nama semasa pendaftaran pengajian Mahathir dahulu.

“Perkara ini pihak polis akan siasat untuk buktikan kebenarannya dan sekali lagi saya katakan, maklumat di atas kad pengenalan bukan maklumat sulit dan tidak menyalahi undang-undang untuk berkongsi dengan orang awam,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Mengesan Maklumat Pelarian (TRIS) di sini hari ini

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dan Naib Presiden menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO mendedahkan keturunan Mahathir itu ketika merasmikan Persidangan Tahunan UMNO Bahagian Kelana Jaya di Petaling Jaya, Selangor pada Ahad lalu.- MalaysiaGazette