Gambar hiasan, sumber Internet

MELAKA – Hentikan penyebaran kejadian ‘orang minyak’ melakukan jenayah pecah rumah kerana ia tidak benar, kata Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad.

Beliau menasihatkan orang ramai mendapatkan maklumat sahih daripada pihak berkuasa dan tidak menyebarkan berita palsu itu yang kini tular di media sosial WhatsApp sehingga menimbulkan keresahan masyarakat.

“Sekiranya ada tangkapan awam (terhadap penjenayah) perlu dimaklum dan diserah kepada pihak berkuasa tanpa mengambil tindakan sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas penyebaran mesej tentang kemunculan ‘orang minyak’ melakukan pecah rumah di sekitar Kandang, Duyong dan Ayer Molek di sini dan di daerah Jasin.

Katanya pihak yang menyebarkan maklumat palsu boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 211 atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA