Lim Lip Eng
Lim Lip Eng

KUALA LUMPUR – Selepas Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan dihalau dari Dewan Rakyat minggu lalu kini nasib sama menimpa Ahli Parlimen Segambut pula.

Hari ini wakil rakyat DAP, Lim Lip Eng pula diarahkan keluar daripada Dewan Rakyat hari ini kerana mengganggu urusan mesyuarat.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ismail Mohamed Said membuat ketetapan itu selepas ahli Parlimen DAP itu ingkar dengan arahan beliau supaya duduk serta tidak menganggu pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Bantuan Guaman (Pindaan) 2017 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ia bermula apabila Lip Eng bangun menyuarakan rasa tidak puas hati selepas usul yang dikemukakannya di bawah Peraturan Mesyuarat 18 berkaitan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditolak oleh pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Ismail menjelaskan, sebarang usul ditolak di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (7), yang memberi kuasa kepada speaker untuk menolak usul dikemukakan ahli Parlimen, ia tidak boleh dikemukakan semula.

Enggan mengendahkan penjelasan itu, Lip Eng sekali lagi bangun, sebelum Ismail memberi amaran akan mengarahkannya keluar Dewan.

Bagaimanapun Lip Eng terus bersuara, yang kemudiannya diarah meninggalkan Dewan. -MalaysiaGazette.