Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiirngi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi serta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien bergambar bersama anggota polis yang terlibat dalam ‘Table Top Exercise’ Sukan SEA di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 03 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Latihan terakhir yang ditonjolkan oleh Unit Komando VAT 69 sempena Sukan SEA ke-29 dan Para ASEAN ke-19 hari ini disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bersama timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Simulasi siri keenam yang berlangsung di Maktab PDRM ini merupakan lanjutan dari siri latihan sebelum ini yang diadakan di Langkawi, Terengganu, KLCC dan Bukit Jalil sebelum ini.

Latihan yang dikenali sebagai Latih Amal Ex Rimau 2017 itu dimulai dengan simulasi ‘Table Top Exercise’ (TTX), satu aktiviti melibatkan kakitangan utama membincangkan pelbagai situasi kecemasan, di bilik Pasukan Tindakan Krisis (CRT).

TTX yang dilaksanakan bersama Majlis Keselamatan Negara dan Polis Diraja Malaysia bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan dan tindak balas kementerian, agensi dan jabatan berkaitan dalam pengurusan dan pengendalian ancaman keganasan semasa temasya sukan itu.

Hadir sama pada acara itu ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin serta Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Najib turut mengikuti simulasi rundingan di Bilik Perundingan dan simulasi Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) yang berlangsung secara tertutup dan kemudiannya menyaksikan demonstrasi antikeganasan oleh 69 Komando (VAT69) selama kira-kira 20 minit di padang kawad maktab itu.

Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dijadual berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos ini manakala sukan Para ASEAN pada 17 hingga 23 Sept depan. – MalaysiaGazette