WASHINGTON/DETROIT – Toyota Motor Corp. dan pesaingnya, Mazda Motor Corp.dijangka mengumumkan pelan untuk membina sebuah kilang pemasangan bernilai AS$1.6 bilion sebagai salah satu cara usahasama.

Menurut sumber yang yang diberi taklimat berhubung perkara itu, kilang berkenaan mampu mengeluarkan 300,000 kereta setahun dengan pengeluaran dibahagikan kepada dua syarikat dan bakal menggaji 4,000 pekerja apabila dibuka pada 2021.

Kilang tersebut pastinya menggembirakan Presiden Donald Trump yang berjanji untuk meningkatkan pengeluaran serta menambah peluang pekerjaan kepada syarikat-syarikat pengeluar kenderaan Amerika Syarikat.

Menurut sumber berkenaan, lokasi kilang tersebut masih belum ditentukan tetapi ia dijangka digunakan untuk pembinaan kereta Toyota Corolla dan kenderaan utiliti crossover Mazda.

Laporan Nikkei semalam menyebut, Toyota akan mengambil kira-kira lima peratus kepentingan dalam Mazda Motor Corp. untuk membangunkan teknologi kenderaan elektrik utama dan bersama-sama membina sebuah kilang di Amerika Syarikat.

Dalam kenyataannya hari ini, Toyota berkata, kedua-dua syarikat sedang meneroka pelbagai perkara berhubung kerjasama di antara mereka di bawah perjanjian yang telah dimeterai pada Mei 2015.

“Kami berhasrat untuk menghantar kertas cadangan kepada ahli-ahli lembaga pengarah hari ini berhubung kerjasama dengan Mazda bagaimanapun kami tidak mahu memberikan sebarang komen lanjut buat masa ini,” katanya dalam satu kenyataan berhubung operasi di Amerika Syarikat.

Manakala Mazda dalam kenyataannya pula berkata “masih tiada apa yang telah diputuskan lagi” sambil menambah “syarikat akan mengadakan mesyuarat ahli lembaga pengarah hari ini”. – MalaysiaGazette