KUALA LUMPUR – Niat seorang wanita untuk menimbang berat badannya ranap apabila penimbang berat badan yang dipesan rupa-rupanya hanya mempunyai saiz sebesar ibu jari.

Anna Fuzzana Ridduan, yang mengakui membuat belian secara tergesa-gesa kerana harga murah yang ditawarkan oleh Lazada, bagaimanapun berasa lucu dengan kesilapan tersebut.

Menulis di Facebook katanya, perkara yang sudah kali kerdua berlaku seperti itu, perlu diambil iktibar supaya membaca maklumat terlebih dahulu sebelum membuat pembelian di laman beli-belah atas talian itu.

Malah, katanya, kejadian itu bukan yang pertama, dia pernah tersilap membuat pesanan sarung sofa tetapi apabila barangan tersebut sampai, ia hanyalah sarung bantal kecil.

“Dalam suka ada duka, teruja tau abang Lazada bagi salam. Sekali buka…..

“Kau dah kenapa? Aku pesan yang besar, kenapa yang kecil kau hantar? Dah tu nak timbang (badan) macam mana?”

Tulisan yang dimuat naik itu mendapat ribuan respon daripada pengguna laman Facebook, termasuk pihak Lazada yang berjanji akan memberikan ‘sesuatu’ kepada Anna sebagai ganti.

“Kepada Cik Anna, kami di Lazada Malaysia pun puas gelak tengok caption dan gambar yang Cik kongsi. “Takper, di hari yang baik ni, kami ada surprise untuk Cik Anna. Nanti kami hantar, ok? 😂

#KamiPunNakKurusJugak
#KitaSamaSamaKurusK

Oleh kerana ada yang tidak faham mengenai penimbang comel itu, seorang pembaca di ruang komen memberi penerangan bahawa penimbang berat badan yang dipesan itu sebenarnya aksesori untuk permainan anak patung. -MalaysiaGazette