ALOR SETAR, 5 Ogos -- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar 2017 di Dewan Insaniah Taman Wira Mergong hari ini. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA
ALOR SETAR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggesa parti komponen Barisan Nasional (BN) bekerja keras meraih sokongan pengundi bagi membuktikan mereka layak kekal bertanding di satu-satu kawasan, terutama bagi yang kalah pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Ini kerana kata beliau, UMNO sudah banyak berkorban dengan memberi peluang kepada calon parti komponen untuk bertanding di kawasan tertentu sekalipun majoriti pengundinya Melayu, atas dasar perkongsian kuasa.

“Contohnya dalam (kawasan) Parlimen Alor Setar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Darulaman, kita kongsi kuasa dengan MCA…walaupun kita tahu lebih 80 peratus pengundi di kawasan Parlimen Alor Setar itu Melayu tapi untuk menghormati parti komponen kita bagi kerusi itu pada MCA dan parti lain.

“…kerana tujuannya secara konvensyen ada kawasan ditandingi UMNO kita perlukan undi daripada pengundi Cina dan India,” kata Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar di Dewan Insaniah dekat sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selaku Ketua UMNO Bahagian Alor Setar.- BERNAMA