Home Ekonomi Harga minyak naik sembilan minggu

Harga minyak naik sembilan minggu

SEOUL – Harga minyak meningkat hampir sembilan minggu, disokong oleh data pekerjaan Amerika Syarikat minggu lalu dan kejatuhan aktiviti penggerudian minyak syal, walaupun kenaikan pengeluaran OPEC mengatasi keuntungan.

Niaga hadapan Brent naik AS$0.08 sen atau 0.15 peratus kepada AS$52.50 setong pada 0059 GMT manakala harga minyak West Texas Intermediate (WTI)  meningkat S$0.07 sen atau 0.14 peratus kepada AS$49.65 setong.

Harga untuk kedua-dua penanda aras semakin meningkat – melonjak ke paras tertinggi sejak akhir bulan Mei apabila pengeluar minyak yang diketuai oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) melancarkan perjanjian untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 1.8 juta tong sehari sehingga Akhir Mac depan.

“Harga minyak mentah naik dengan kukuh apabila pelabur melihat (data Amerika Syarikat) sebagai positif untuk permintaan minyak di Amerika Syarikat … Kejatuhan kecil dalam jumlah gerudi di Amerika Syarikat juga menyokong harga,” kata bank ANZ dalam notanya.

Penggerudi di Amerika Syarikat mengurangkan satu pelantar minyak pada minggu berakhir 4 Ogos lalu, menjadikan kiraan jumlah itu turun kepada 765, kata firma perkhidmatan tenaga Baker Hughes (BHGE.N) pada hari Jumaat.

Meskipun jumlah medan minyak jatuh minggu lepas, pengeluaran Amerika Syarikat melonjak kepada 9.43 juta tong – kedudukan tertinggi sejak Ogos 2015.

Eksport OPEC bagi bulan Julai bertambah kepada paras tertinggi 26.11 juta tong sehari, kebanyakan dari Nigeria, menurut laporan oleh Thomson Reuters Oil Research minggu lepas. – MalaysiaGazette