Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim bercakap pada sidang media tentang isu semasa berkaitan syarikat penerbangan Malindo Air di Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 7 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masuk campur dengan menyiasat bayaran tertunggak syarikat penerbangan, Malindo Air sebanyak RM70 juta kepada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Tunku Abdul Aziz mempertikaikan mengapa tiada sebarang tindakan diambil ke atas Malindo Air walhal sudah banyak berhutang, sebaliknya syarikat penerbangan itu masih meneruskan operasi seperti biasa.

“Jika kamu tidak bayar, kenapa kamu masih dibenarkan menggunakan lapangan terbang dan kemudahan yang disediakan.

“Mereka perlu hentikan operasi sehingga membuat pembayaran,” kata beliau dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Tunku Abdul Aziz yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) menggesa SPRM siasatan dilakukan kerana ia melibatkan wang rakyat yang sepatutnya dikutip.

“SPRM dan polis perlu siasat Malindo Air, isu ini melibatkan kepentingan awam dan ia sudah diketahui umum,” katanya lagi.

Beliau menyifatkan Malindo Air sudah diklasifikasikan sebagai terlibat dalam jenayah pecah amanah (CBT) kerana tidak melaksanakan tanggungjawab mereka untuk membayar hutang kepada MAHB.

“Dalam kes ini, mengikut terma, Malindo Air secara jelas sudah melakukan CBT, atau jenayah pecah amanah, satu kesalahan yang amat serius jika mengikut sudut perundangan.

“RM70 juta yang sepatutnya dikutip dari Malindo Air tidak dipulangkan kepada MAHB, apa sudah jadi kepada wang tersebut?” ujarnya.

Tunku Abdul Aziz mengulas isu tunggakan cukai lapangan terbang Malindo Air yang kini dikatakan mencecah sehingga RM70 juta.

Isu tersebut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk teguran daripada Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang turut meminta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengarahkan syarikat penerbangan tersebut melunaskan hutang dengan segera.

Malindo Air merupakan syarikat usahasama Nasional Aeroscape Defence Industries (Nadi) dan Lion Group Indonesia yang memulakan operasi di negara ini pada 2013. – MalaysiaGazette