Tan Sri Dr. Irwan Seregar Abdullah. foto: HAZROL ZAINAL, 08 OGOS 2017.

PUTRAJAYA – 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) sekali lagi gagal menyelesaikan pembayaran timbang tara kepada International Petroleum Investment Corportion (IPIC).

Pengerusi 1MDB, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah berkata, syarikat pelaburan milik Kementerian Kewangan Diperbadankan itu telah mendapat persetujuan IPIC untuk menangguhkan pembayaran.

“1MDB memerlukan lebih masa untuk menguruskan pembayaran.

“Kami pasti membuat pembayaran kepada IPIC apabila tiba masanya,” katanya sambil menambah beliau tidak pasti berapa lama tempoh lanjutan yang akan diberikan IPIC kepada 1MDB.

Ini merupakan kali kedua 1MDB gagal menjelaskan pembayaran sebanyak kira-kira RM2.53 bilion kepada IPIC.

Ia merupakan pembayaran peringkat pertama dan peringkat kedua perlu dijelaskan menjelang akhir tahun ini.

Menurut Irwan, 1MDB menghadapi kesukaran dalam penjualan unit-unitnya, sekali gus menjadi penghalang utama untuk syarikat kontroversi itu mendapatkan dana.

Selain itu, ia juga perlu melalui beberapa proses bagi memenuhi keperluan badan kawal selia yang mengambil masa yang lama.

Ini menurut Irwan, telah menyebabkan 1MDB gagal membuat pembayaran tersebut yang mana tarikh akhirnya adalah pada jam 12 tengahari waktu Malaysia. – MalaysiaGazette