Maximus Ongkili

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Datuk Seri Azmin Ali diminta untuk berhenti mempolitikkan urusan pengambil alihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd. (Splash).

Menurut Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Selangor terlalu mempolitikkan isu itu sehinggakan masalah air yang sering berlaku di negeri tersebut tidak diselesaikan.

“Negeri Selangor semua dipolitikkan, jadi inilah masalahnya sukar sehingga masalah air pun sukar untuk diselesaikan.

“Mengenai jurunilai dan penilaian harga (SPLASH) itu adalah maklumat kepada kerajaan pusat sebagai harga rujukan. Apabila kerajaan Selangor beri tawaran jadi kami boleh katakan apa yang adil untuk harga.

“Bukan susah (kerajaan negeri) nak beri harga.. Jadilah ‘ayam jantan’ dan make an offer (buat tawaran) kepada Splash),” katanya ketika menjawab pertanyaan tambahan Azmin dalam pertanyaan-pertanyaan lisan menteri (MQT) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Untuk rekod, sehingga hari ini kerajaan negeri Selangor masih gagal untuk memberikan tawaran harga bagi proses pengambilalihan tersebut.

Splash sebelum ini dipalit kontroversi apabila dikaitkan dengan isu pengambilalihan bernilai RM2.975 bilion.

Sebelum ini, kerajaan negeri sudah mengambil alih tiga syarikat konsesi lain iaitu Puncak Niaga Sdn. Bhd. dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), masing-masing berjumlah RM2.47 bilion dan RM3.11 bilion pada Mei 2014.

Menyusul selepas itu, Konsortium Abass Sdn. Bhd. bersetuju dengan tawaran pengambilalihan ekuiti, aset dan liabiliti air pada harga RM900 juta. -MalaysiaGazette