KUALA LUMPUR – International Petroleum Investment Corporation (IPIC) membenarkan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dan Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc.) melanjutkan pembayaran arbitrasi.

Syaratnya kedua-duanya perlu membayar sekurang-kurangnya AS$310 juta pada atau sebelum Sabtu ini.

Dalam kenyataannya, syarikat pelaburan Abu Dhabi itu menegaskan, 1MDB dan MoF Inc. perlu menanggung kadar faedah akibat pembayaran lewat.

“IPIC memberi kebenaran kepada MoF Inc. dan 1MDB untuk menyelesaikan kesemua obligasi hutang mereka termasuk kadar faedah penuh akibat pembayaran lewat sehingga 31 Ogos ini.

“Hutang tersebut sepatutnya dijelaskan pada 31 Julai lalu namun penangguhan ini adalah tertakluk kepada MoF Inc dan 1MDB sekiranya mereka boleh membayar sekurang-kurangnya AS$310juta daripada jumlah AS$603 juta selewat-lewatnya pada 12 Ogos ini,” katanya.

Di bawah perjanjian yang diputuskan pada bulan April lalu, International Petroleum Investment Company (IPIC) telah bersetuju untuk membayar sejumlah AS$1.2 bilion dengan dua kali bayaran kepada IPIC.

Bayaran pertama berjumlah kira-kira AS$600 juta yang perlu dijelaskan pada 31 Julai.

Bagaimanapun, 1MDB gagal melaksanakan komitmen itu.

Tetapi dana kekayaan berdaulat Abu Dhabi itu memberikan tempoh lima hari lagi yang berakhir pada hari ini. – MalaysiaGazette